Coming soon
Coming soon
MASJID TANAH 21 Disember: Produk eko-pelancongan baharu, Eco-Cruise Sungai Linggi di Kampung Paya Lebar dekat sini pastinya akan menjanjikan pengalaman berbeza dan luar biasa kepada para pengunjung dan pelancong.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh berkata, menyedari potensi Sungai Linggi beliau telah meminta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengembangkan operasi cruise dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Menurutnya, PPSPM memiliki pengalaman luas lebih daripada 18 tahun dalam perkhidmatan cruise mampu menjadikan Eco-Cruise Sungai Linggi sebagai produk pelancongan baharu bagi memperkasa sektor pelancongan di Melaka.
"Eco-Cruise Sungai Linggi yang pastinya akan menjanjikan pengalaman berbeza dan luar biasa kepada para pengunjung dan pelancong.
"Saya diberitahu, sebagai permulaan, PPSPM akan menyediakan dua bot Eco-Cruise berkapasiti 20 penumpang dalam satu masa.
"Eco Cruise Sungai Linggi ini akan beroperasi pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, di mana tempahan bot boleh dibuat pada bila-bila masa," ujarnya berucap merasmikan Pelancaran Eco-Cruise Sungai Linggi dan Restoran Terapung Sungai Linggi di Jeti Eco Tourism Paya Lebar di sini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri.
Ab. Rauf berkata, Eco-Cruise Sungai Linggi dan Restoran Terapung di Taman Lokan adalah manifestasi hasrat Kerajaan Negeri bagi mempelbagaikan produk-produk pelancongan baharu di Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Katanya, menjadi hasrat Kerajaan Negeri memperkenalkan produk-produk pelancongan baharu khususnya di kawasan luar bandar dan tidak hanya tertumpu di pusat bandar raya di Daerah Melaka Tengah.
Jelasnya, kawasan luar bandar mempunyai banyak produk-produk pelancongan yang boleh dipopularkan dan ditonjolkan seperti di kawasan Sungai Linggi ini yang terletak di bahagian utara Melaka.
"Saya yakin dan percaya, inisatif ini bakal menggamit minat pelancong domestik dan antarabangsa kerana mereka dapat merasai pengalaman Eco-Cruise yang jauh berbeza daripada Melaka River Cruise.
"Sepanjang pelayaran Eco-Cruise ini, para pelancong akan disajikan dengan keindahan alam semula jadi dan keunikan flora dan faunanya yang tersendiri sepanjang lebih kurang tiga jam perjalanannya," katanya.
Katanya, Restoran Terapung Sungai Linggi yang terletak di Taman Lokan turut menjadi satu lagi tarikan baharu pelancong menaiki Eco-Cruise Sungai Linggi.
Jelasnya, restoran itu bakal menjadi tarikan pelancong kerana menawarkan pelbagai menu menarik berasaskan hidupan dari Sungai Linggi seperti udang galah, lokan dan ikan segar.
Ujarnya, di samping itu, kawasan itu juga bakal menjadi tumpuan kaki pancing serta penggemar ikan air tawar untuk menikmati hidangan yang disediakan di restoran terapung ini.
"Saya meminta PPSPM agar segera membangunkan produk- produk cruise yang baharu pada masa akan datang dan menjalin kerjasama dengan penduduk tempatan secara pakej seperti penginapan dan makanan," ujarnya.