MELAKA, 19 Nov (Bernama) -- Perlumbaan perahu naga sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka ke-11 disertai 672 peserta melibatkan 48
pasukan dari dalam dan luar negara dalam perlumbaan yang berlangsung di muara Sungai Melaka di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Nazary Ahmad berkata pemenang yang bakal menjulang
piala pusingan 'Asian Dragon Boat Award' selain hadiah wang tunai RM2,000 itu dijangka diketahui lewat petang ini.
Beliau berkata perlumbaan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu terbuka bagi pasukan luar Melaka termasuk dari luar negara manakala tertutup bagi pasukan dari negeri itu, dan juara kategori itu akan berentap bagi merebut piala pusingan tersebut.
"Perlumbaan perahu naga ini antara 10 acara antarabangsa yang diatur bagi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka ke-11," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlumbaan itu di sini, hari ini.
Katanya antara pasukan tempatan yang menyertai pelumbaan tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia, Akademi Laut Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Multimedia dan Universiti Kuala Lumpur manakala peserta antarabangsa dari negara Singapura, Brunei dan Thailand.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap perahu akan berlumba sejauh 200 meter dan acara berkenaan menggunakan sistem liga, manakala pemenang tempat pertama hingga keenam bagi kedua-dua kategori masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM200 hingga RM2,000.
Nazary berkata berkata operasi Perkhidmatan Melaka River Cruise di Sungai Melaka tidak dihentikan kerana ia tidak mengganggu perlumbaan berkenaan yang menggunakan sebahagian laluan di sungai tersebut dan pelancong yang menaiki cruise berkenaan juga dapat menyaksikan pertandingan berkenaan.
Dalam pada itu, Nazary berkata pemain industri di Melaka khususnya pemilik hotel disaran menjadi sebahagian daripada penaja perlumbaan itu pada tahun depan kerana acara tahunan terbesar tersebut memberi banyak manfaat kepada mereka.
"Sekarang ini kami kekurangan penaja bagi menganjurkan perlumbaan ini dalam skala yang lebih besar tetapi kami yakin sekiranya mendapat lebih ramai penaja, acara ini dapat dianjurkan secara lebih gilang-gemilang," katanya.
- BERNAMA: https://goo.gl/UWC8qs
AYER KEROH, 15 November 2017 - Lebih sejuta pengunjung dalam dan luar negara dijangka membanjiri Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2017 yang berlangsung selama 14 hari, bermula esok.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata acara tahunan kali ke-11 itu susulan usaha kerajaan negeri melakukan promosi untuk menarik lebih pelancong ke negeri berkenaan.
Katanya, lebih 35 acara disusun sepanjang festival itu, termasuk pertandingan bot kawalan jauh, perahu naga, bot berhias, ratu kebaya dan persembahan kesenian pelbagai kaum.
"Paling istimewa, festival yang akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob ini, akan mengetengahkan pementasan legenda Panglima Awang yang mengisahkan pahlawan Melayu yang juga manusia pertama mengelilingi dunia pada abad ke-16.
"Turut memeriahkan festival ini, persembahan artis popular tanah air, Aiman Tino, Azlan Typewriter dan Syafinaz Selamat, selain cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung," katanya pada sidang media di Rumah Media Melaka, di sini, hari ini.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dijangka menghadiri majlis perasmian festival berkenaan.
Sementara itu, Idris berkata, Pusat Sumber Media di Rumah Media Melaka bakal dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan dalam tempoh terdekat, sekali gus memudahkan petugas media.
"Perancangan ini membabitkan sejumlah peruntukan khas yang akan diumumkan dalam pembentangan bajet kerajaan negeri pada 27 November ini," katanya.
- BERITA HARIAN: https://goo.gl/KBkk3k
MELAKA, 15 November 2017 - Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran lebih 1 juta pengunjung dari dalam dan luar negara sempena penganjuran Festival Antarabangsa Sungai Melaka Ke-11 yang bermula esok hingga 29 November depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dijadual merasmikan festival itu pada Sabtu ini (18 Nov) yang membabitkan 25 acara domestik dan 10 acara bertaraf antarabangsa.
"Antara acara yang dijangka menarik minat pengunjung adalah dua acara ikon iaitu Perarakan Bot Berhias dan Melaka Parade, yang memaparkan keunikan budaya masyarakat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai etnik,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Selain itu, Pertandingan Bot Kawalan Jauh, Pertandingan Perahu Naga, Pertandingan Ratu Kebaya dan Persembahan Kebudayaan serta Kesenian Pelbagai Kaum dijangka akan mendapat sambutan hebat daripada pengunjung, katanya.
Idris berkata festival itu juga akan memaparkan Epik Sejarah Melaka mengenai pelayar pertama yang mengelilingi dunia iaitu Panglima Awang atau 'Henry The Black'.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya bercadang menaik taraf Rumah Media Melaka di Ayer Keroh di sini kepada 'Media Resource Centre' yang akan menjadi tumpuan pengamal media negeri itu dengan melakukan penambah baikan dari segi infrastruktur termasuk meningkatkan kelajuan internet. - Bernama
- BERNAMA: https://goo.gl/wmB6LB
MELAKA, 20 Mei 2017 - Sungai Melaka yang menjadi destinasi perhentian seterusnya bagi Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menyaksikan acara gimik menarik apabila obor dibawa menaiki bot menyusuri sungai berkenaan, hari ini.
Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim yang membawa obor berkenaan menaiki bot Melaka River Cruise menjelajah Sungai Melaka dan diserahkan kepada Pegawai Daerah Alor Gajah, Daud Hassan.
Obor berkenaan dibawa bermula dari jeti Kampung Morten sebelum berhenti di jeti Restoran Melayu Melaka, Jalan Mutahir, di Melaka Tengah di mana berlangsungnya program Fit Malaysia yang disertai kira-kira 2,000 peserta membabitkan golongan belia.
Terdahulu, larian obor berkenaan dilepaskan dari Dataran Sungai Melaka oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abidullah Salleh sebelum tiba di jeti Kampung Morten.
Melaka adalah destinasi kedua selepas Johor bagi larian obor KL2017 anjuran Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9.
Larian obor itu sudah pun bermula di Jasin pada 18 Mei lalu sebelum ke Melaka Tengah, hari ini, seterusnya ke Alor Gajah esok yang destinasi terakhir bagi negeri Hang Tuah.
Larian obor itu dijangka diteruskan ke Negeri Sembilan Isnin ini.
Sementara itu, Johor menjadi tuan rumah pertama siri larian apabila ia disambung daripada Larian Baton Bangkit Bersama selepas menjelajah ke seluruh negara Asia Tenggara, bermula di Brunei pada 5 Mac lalu.
Baton berkenaan dibawa masuk ke Malaysia oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas menerimanya daripada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Grace Fu Hai Yien.
Baton itu kemudiannya ditukar kepada obor dan diserahkan kepada wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan sebagai tanda permulaan Larian Obor KL2017.
Ia dijangka berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 19 Ogos depan sempena perasmian temasya dwitahunan berkenaan.
- BERITA HARIAN: https://goo.gl/j2NbHf
MELAKA, 16 November 2017 - Negeri ini akan menerima kedatangan seramai 8,000 pelancong dari Wilayah Utara India mulai 19 Januari depan bagi
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di peringkat antarabangsa.
Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri Melaka, Jeffri Munir berkata, pelancong dari negara tersebut bakal melonjakkan lagi pemasaran pelancong negara, khususnya Melaka.
“Kedatangan ini dapat dihasilkan melakui usaha yang dilakukan Syarikat Jejak Warisan Tours & Travel (JWWT) Sdn. Bhd. Melaka yang disokong oleh
pihak kami, Pejabat Tourism Malaysia New Delhi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ray Foundation New Delhi yang ditandatangani pada 8 Oktober lalu di Dehradun City, India.
“Bagi menjaya dan melengkapkan usaha yang dilakukan ini, pihak JWWT pada hari ini telah menandatangani Persefahaman Kerjasama dengan beberapa pemilik dan pengusaha produk serta tarikan pelancongan di negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum MoU ditandatangani antara JWWT dengan beberapa pengusaha tarikan pelancongan negeri Melaka di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Nazary Ahmad dan Presiden Dewan Usahawan India Malaysia (IEcM), K.A. Bharat.
Sementara itu, Jeffri memberitahu, kerjasama itu juga mendapat sokongan padu daripada syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad
(MAB) yang mempunyai laluan setiap hari ke wilayah tersebut.
“Sebagai permulaan, delegasi seramai 18 orang terdiri daripada golongan akademik dan usahawan dari negeri Uttarakhand, India akan mengadakan lawatan suai kenal ke Malaysia, khususnya Melaka bagi merasai sendiri pengalaman percutian di sini.
“Lawatan yang bermula dari 14 hingga 22 November ini adalah atas jemputan dan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat JWTT, IEcM Melaka dan MAB,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Jeffri, pihak kementerian menyasarkan peningkatan 10 peratus jumlah pelancong India ke negara ini pada tahun hadapan
ekoran penurunan sebanyak 21.5 peratus pada tahun ini.
Katanya, setakat Januari hingga Ogos tahun ini, Malaysia menerima kehadiran 354,258 pelancong dari India berbanding 451,294 orang dalam tempoh
masa yang sama tahun lalu.
Artikel Penuh: https://goo.gl/WuUjYC
© Utusan Melayu (M) Bhd
MELAKA, 12 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Beaks Development Sdn Bhd menjalin kerjasama bagi membina Grand Pier Melaka, pusat kreatif komersial pertama di negeri ini, bernilai RM40 juta.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata projek yang akan dibangunkan di tapak warisan UNESCO di Dataran Muara Sungai Melaka berdekatan bangunan Stadhuys dan Jonker Street itu dijangka dapat merancakkan lagi kedatangan pelancong ke negeri tersebut.
Majlis pecah tanah projek berkeluasan 21,000 kaki persegi itu (1,950.96 meter persegi), kata beliau dijadual pada Oktober ini.
Pusat berkenaan yang menawarkan seni kreatif, makanan tempatan dan 'fusion' termasuk pusat beli belah moden barangan tempatan dan antarabangsa dijangka siap pada suku ketiga tahun 2018.
"Projek ini menempatkan bangunan tiga tingkat hotel, kedai komersial, pusat operasi Melaka River Cruise dan kedai cenderamata eksklusif yang mana dua tingkat pertama akan dipenuhi ruang niaga makanan dan minuman tempatan selain kawasan khas bagi seniman tempatan dan antarabangsa mempamerkan projek seni serta mengadakan program kesenian eksklusif.
"Manakala tingkat paling atas akan dijadikan ruang hotel butik moden yang dihiasi dengan kesenian moden dan tradisional oleh pelukis dan seniman tempatan," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) kerjasama itu di Kompleks Seri Negeri di sini Rabu.
MoA berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Nazary Ahmad manakala Beaks Development Sdn Bhd diwakili Pengarahnya Wayne Chan yang turut disaksikan Idris dan Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri Datuk Ghazale Muhamad.
"Projek ini akan menjadi pemangkin dan penggerak kepada kegiatan ekonomi, perdagangan, dan industri pelancongan di sekitar Bandar Hilir dan negeri amnya.
"Grand Pier Melaka akan menempatkan ruang khas bagi kegunaan Unit Peronda Bomba Sungai Melaka sebagai hab menjalankan aktiviti rondaan menjaga keselamatan perairan selain pusat terminal untuk aktiviti tarikan pelancongan paling terkenal di negeri Melaka iaitu Melaka River Cruise," kata Idris.
- BERNAMA: https://goo.gl/7psmUe
BANDARAYA MELAKA, 20 November 2017 - Selari pengisytiharan 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia, kerajaan negeri akan mengambil langkah menambah baik kemudahan, infrastruktur serta kualiti perkhidmatan pelancongan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha yang dijalankan itu ekoran jangkaan ketibaan jutaan pelancong luar negara semasa Tahun Melawat Malaysia nanti.
Menurutnya, usaha itu sebenarnya telah bermula sebelum ini, termasuk memperluaskan jalan di ketiga-tiga pintu masuk tol ke negeri ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah menyediakan laluan alternatif ke pusat bandar raya selain bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha pengawasan trafik menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
“Semua ini adalah selari dengan pengisytiharan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai Tahun Melawat Malaysia semasa pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini.
“Sebagai sebuah negeri pelancongan, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman ini dan akan memberi sepenuh komitmen bagi merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya semasa menghadiri majlis perasmian Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2017 di sini, malam kelmarin.
Ini merupakan tahun ke-11 acara tahunan ini diadakan, di mana untuk tahun ini, ia akan diadakan dari 16 hingga 29 November membabitkan 35 acara dengan 10 daripadanya merupakan acara utama.
Menurut Idris, dari segi kemudahan penginapan di negeri ini, rekod menunjukkan bilangan jumlah bilik hotel telah meningkat kepada hampir 16,000
bilik dari tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, kebanjiran pelancongan turut memberi manfaat kepada penduduk tempatan, khususnya penggiat industri pelancongan, pengusaha hotel serta kedai runcit.
“Kesungguhan kerajaan negeri disertai kerjasama erat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempromosikan negeri ini ke pentas antarabangsa, dan ini terbukti apabila tahun lalu sahaja kita merekodkan ketibaan pelancong seramai 16.28 juta,” katanya.
- SINAR ONLINE: https://goo.gl/SwQzwp
MELAKA, 20 Mei 2017– Obor Sukan SEA 2017 (KL2017) dibawa menyusuri Sungai Melaka kira-kira 500 meter dari Jeti Kampung Morten ke Dataran Restoran Melayu sebagai gimik
Larian Obor di sini hari ini.
Obor berkenaan dibawa menaiki Melaka River Cruise oleh Pegawai Kewangan negeri, Datuk Roslan Ibrahim sebelum diserah kepada Pegawai Daerah Alor Gajah, Daud Hassan.
Terdahulu, para peserta berlari sejauh empat kilometer bermula di Dataran Sungai Melaka dan dilepaskan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abidullah Salleh sebelum tiba di jeti Kampung Morten.
Kira-kira 2,000 peserta program Fit Malaysia menyambut larian itu di Dataran Restoran Melayu Melaka sebelum diserahkan kepada Daud dan gimik itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Negeri ini adalah destinasi kedua selepas Johor bagi Larian Obor KL2017 anjuran Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan.
Pada Khamis lalu, Larian Obor KL2017 itu tiba di negeri ini yang diserahkan kepada wakil Melaka di Laman Belia Sungai Rambai sebelum menyerahkan obor berkenaan kepada wakil Negeri Sembilan esok.
- MINGGUAN/NURSURAYA ZULKIFLI
Artikel Penuh: https://goo.gl/GEiWCE
© Utusan Melayu (M) Bhd
MELAKA, 20 Feb 2024 - Sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka River Cruise menyediakan Perkhidmatan Cruise Percuma untuk semua pelancong tempatan. Melaka River Cruise mengambil inisiatif ini untuk merealisasikan impian YAB Ketua Menteri Melaka yang ingin memberikan perkhidmatan secara percuma sempena hari tersebut. Perkhidmatan ini sah hanya pada 20hb Februari 2024 sahaja.
- PERBADANAN PEMBANGUNAN SUNGAI DAN PANTAI MELAKA